ROTAN: DULU DAN SEKARANG
‘Semua guru adalah guru
disiplin’. Suatu masa dahulu, semua guru
berperanan sebagai guru disiplin bagi membentuk disiplin pelajar ke arah yang
lebih baik. Guru disiplin bukan sahaja
berperanan untuk mengawal tingkah laku pelajar tetapi menjadi orang yang paling
layak untuk memberi hukuman yang setimpal dengan perbuatan atau salah laku yang
dilakukan oleh pelajar. Walaupun mendapat maklum balas yang kurang
baik daripada anggota masyarakat khususnya, pelaksanaan hukuman rotan masih
tetap dijalankan.
Menyorot kembali zaman persekolahan
era 60-an dan 70-an, pelaksanaan hukuman rotan disekolah pastinya mendapat
sokongan daripada ibu bapa. Ibu bapa
berpendapat, gurulah orang yang paling layak mendidik anak
mereka dan tidak salah sekiranya anak mereka dihukum andai pasti mereka telah
melakukan kesalahan. Pelajar pada waktu
itu pula, takut untuk mengadu kepada ibu bapa mereka kerana bimbang akan
menerima sekali lagi hukuman yang sama kerana ibu bapa meraka jelas memandang
tugas guru sebagai pendidik dan pembentuk masa depan anak mereka. Walaupun sakit akibat dirotan tetapi rasa
sakit itulah yang mampu membentuk nama-nama besar pada hari ini.
Namun begitu, senario di atas berakhir
begitu sahaja pada masa sekarang. Sistem
pelaksanaan hukuman telah berubah secara tidak langsung kerana dipengaruhi
oleh faktor persekitaran. Guru yang
menghukum dan merotan pelajar pada masa kini dianggap ketinggalan zaman dan
pastinya guru tersebut akan menerima ‘hukuman’ daripada ibu bapa. Ibu bapa pada masa sekarang berpendapat
bahawa mereka adalah orang yang bertanggungjawab dalam pembentukan sahsiah dan
disiplin anak mereka. Guru hanyalah
berperanan sebagai pendidik di sekolah dan tidak lebih daripada itu. Ada ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan
undang-undang dengan mengenakan saman kepada guru demi melindungi hak anak
mereka. Namun begitu, ada juga ibu bapa
yang sanggup mengambil jalan pendek dengan memukul guru tersebut sebagai
‘ganjaran’ dan seterusnya membuat laporan polis mengenai tindakan guru
terbabit.
Dalam hal ini, siapa yang harus dipersalahkan? Baik guru mahupun ibu bapa, kedua-duanya punya tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaik mungkin kerana corak yang mereka warnakan akan memberi kesan pada masa akan datang.
DISIPLIN PELAJAR:
TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Setiap kali menyebut atau mendengar perkataan disiplin pelajar, yang terbayang dimata kita adalah gambaran pelajar yang nakal, jahat, sombong, berlagak, dan pelbagai bayangan negatif yang lain. Perbezaan penggunaan istilah dan gelaran tersebut sebenarnya dapat menjelaskan tahap-tahap pembentukan disiplin diri yang diajar dan diamalkan oleh seseorang individu dalam kehidupan seharian mereka.
Pada umumnya, masalah disiplin pelajar
sekolah hanya berkisar pada tahap kenakalan mereka sahaja seperti ponteng
sekolah, ponteng kelas, merokok, melepak, merosakkan harta benda awam dan yang
seumpamanya. Namun, masalah
disiplin pelajar pada hari ini, mereka semakin berani melakukan
pelbagai perbuatan songsang yang bercanggah dengan norma masyarakat dan
undang-undang negara. Sebelum pelajar
kita tersasar lebih jauh, semua pihak seharusnya memainkan peranan
masing-masing dan mengambil langkah segera untuk membendung disiplin pelajar
agar mereka tidak terjebak dengan masalah yang lebih serius seperti pembunuhan,
mengandung anak luar nikah atau kes rogol pelajar. Dalam kes seumpama ini siapa yang patut
dipersalahkan?
Dalam membicarakan permasalahan ini
seharusnya kita tidak saling menuding jari kepada orang lain. Seharusnya kita sedar dan insaf pertambahan
masalah disiplin pelajar merupakan tanda-tanda awal ada kesilapan pada
bahagian-bahagian tertentu dalam sistem pendidikan sama ada pendidikan formal
atau tidak formal. Pendidikan bukanlah
hanya tanggungjawab pihak-pihak tertentu tetapi ia adalah satu amanah dan juga
tanggungjawab semua pihak yang merangkumi individu, ibu bapa, keluarga,
masyarakat dan juga negara.
Dasar pendidikan telah digubal dengan
begitu cantik dan disesuaikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan mutu
sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan semasa dan juga masa akan
datang. Konsep dan proses pendidikan
yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial sebenarnya
satu adunan yang cukup lengkap bagi melahirkan induvidu pelajar yang waja dan
penuh dengan sifat seorang insan. Namun,
di mana silapnya sehingga negara kita kerap digegarkan dengan cerita dan berita
masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing. Siapakah sebenarnya yang perlu
bertanggungjawab?
Disaat negara menunjukkan prestasi mantap
dari segi ekonomi dan meningkatkan penggunaan teknologi, masalah disiplin
pelajar ini semakin menunjukkan taring dan sedikit sebanyak mencalar imej
negara yang sedang ghairah ke arah Wawasan 2020. Amat mendukacitakan apabila
pelajar yang diasuh sebagai pelapis peneraju negara pada masa depan mempunyai
jati diri yang lemah, emosi yang rapuh dan tahap intelektual yang cetek. Adakah kita masih punya masa untuk
mengubahnya?
No comments:
Post a Comment