PENDIDIKAN MASA KINI

Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu isu pendidikan yang perlu diberi perhatian. Kejayaan PBS ini bergantung pada guru tersebut. Sekiranya guru menganggap PBS tidak penting  maka ia akan menyulitkan proses pelaksanaannya. Selain itu, dari segi kebolehpercayaan maklumat yang diambil pelaksanaan sistem PBS ( Mokhtar Ismail, 2009 ). Dalam konteks PBS tugas dan arahan tentang ujian diberi oleh guru kepada calon. Dahulu kita tahu, ia dipikul oleh Majlis Peperiksaan Malaysia tetapi dalam PBS guru  memberikan arahan dan tugas kepada calon. Kejayaannya bergantung pada sistem kepercayaan guru. Jika guru mempunyai sistem kepercayaan negatif terhadap PBS, maka nilai kebolehpercayaan yang rendah akan di perolehi terhadap tugasan atau kerja kursus yang dilaksanakan oleh calon. Ini akan memberi kesan terhadap kesahan  ujian berkenaan.

Perkara pokok yang perlu diberi perhatian ialah kesediaan murid sebagai calon PBS untuk mengambil ujian  berdasarkan perkembangan mental mereka. Isu ini mungkin tidak kritikal kerana dalam sistem pendidikan semua murid menghadapi kurikulum yang sama pada umur yang sama. Sekiranya ada isu yang timbul melibatkan murid lemah yang memerlukan pemulihan. Cara mereka diurus untuk mengambil ujian PBS merupakan suatu perkara yang perlu dipertimbangkan dan di ambil perhatian. Selain itu, PBS yang dilaksanakan memerlukan guru mengisi pelbagai jenis borang dan menganalisis markah pelajar yang mengambil masa yang lama.

Penekanan untuk menguasai Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris  melalui pengenalan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) kepada pelajar-pelajar  dan guru-guru menambah tekanan dan mempengaruhi prestasi pengajaran guru-guru. Belum reda isu PPSMI, kemunculan MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu memperkukuh bahasa Inggeris) turut memberi tamparan yang hebat kepada guru-guru dan juga kepada pelajar. Konsep PPSMI belum habis di mengertikan muncul pula MBMMBI bagi menggantikan PPSMI. akibat dua dasar ini, institusi pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah bagai terumbang-ambing atau seperti berada di persimpangan dilema, dan secara kasarnya, institusi ini terbelah kepada dua kelompok penyokong, PPSMI dan MBMMBI dan yang terkeliru sudah tentulah warga pendidik dan pelajar. Ini akan memberi tamparan yang hebat kepada pelajar dalam meneruskan pembelajaran dan guru dalam meneruskan proses pengajaran.  Lapan tahun dulu, awal perlaksanaan PPSMI, ditentang hebat sebab takut sukar dipelajari pelajar. namun, selepas perlaksanaannya, ia semakin diterima oleh golongan pendidik. 

Namun, tahun 2009, isu ini diperdebatkan sekali lagi  sehinggalah suatu keputusan drastik kerajaan memansuhkan secara berperingkat dasar PPSMI,  dan bila dah mansuh diwujudkan pula MBMMBI. Signifikan MBMMBI pula memartabatkan bahasa ibunda dan memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.  Walau bagaimanapun, ia tetap menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar  dan juga ibu bapa. Ada ibu bapa yang boleh menerima pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dan ada ibu bapa yang tidak mahukan dalam Bahasa Malaysia (BM). Guru terpaksa berdepan dengan pelajar dan ibu bapa serta masyarakat  untuk menjelaskan tentang pertukaran rancangan yang dirancang oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Walaupun demikian , dalam perkembangan terkini, kerajaan Malaysia mengubah balik pengajaran matematik, Sains dan Teknologi dalam Bahasa Melayu pada tahun 2012 (Dr.raghbir Kaur Joginder Singh, 2012).
Konsep langit terbuka banyak mendedahkan pelajar  dengan pelbagai perkara sama ada kebaikan atau keburukan. Rela atau tidak, guru bertindak sedaya upaya untuk menyeimbangkan keperluan perkembangan minda pelajar agar kekal mengamalkan nilai-nilai murni. Sikap pelajar kini yang tidak menghormati guru, ibu bapa, orang tua, rakan sebaya, percakapan yang tidak sopan serta cara berpakaian/penampilan yang tidak senonoh menjadi cabaran untuk guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang ditetapkan oleh KPM malah guru menjadi ibu bapa dalam membentuk peribadi murni pelajar agar kekal mengamalkan nilai dan jati diri  serta mengamalkan tatasusila ketimuran.

Tugas guru di sekolah semakin mencabar, bukan sahaja setakat mengajar, guru juga terpaksa membuat kerja-kerja perkeranian, menjadi penjaga, menjadi doktor bila pelajar tidak sihat, menjadi pendengar yang setia di saat ibu bapa pelajar leka dengan tugas-tugas di pejabat, menjadi tempat pelajar melepaskan perasaan dan juga menjadi teman berbual mengisi masa lapang.  Di tengah-tengah kesibukan menjalankan tugas, ada guru yang berkorban meningkatkan tahap pengetahuan dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi , mengejar segulung ijazah untuk meningkatkan kerjaya di bidang perguruan. Begitulah tabahnya guru  mengejar gelaran sarjana atau Phd. Semuanya demi melahirkan generasi yang berilmu dan berminda kelas pertama.  Guru turut mengorbankan masa lapangnya, dengan menjalankan aktiviti pengembang bakat dan potensi pelajar melalui pengendalian kejohanan sukan, syarahan, karnival pendidikan di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Segala-galanya demi melihat  modal insan yang dilahirkan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sikap yang positif serta potensi yang mampu melonjak kecemerlangan diri. Usaha ini tidak pernah minta dibalas, hanya ingin melihat kejayaan yang di kecapi, Itu merupakan satu kepuasan buat guru. Usaha yang dilakukan ini kadangkala tidak dihargai oleh segelintir pihak namun atas rasa tanggungjawab, guru teruskan jua langkah demi melahirkan generasi yang berkualiti. Pengorbanan tersebut menuntut komitmen  masa, wang ringgit dan tenaga yang tidak ternilai di samping tidak meminggirkan tugas asasi mereka di bilik darjah.

Justeru itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membekalkan pendidikan berkualiti bergantung pada dedikasi dan komitmen guru-gurunya. Hasrat kerajaan untuk menangani isu-isu pendidikan global dan mencapai pendidikan kelas dunia merupakan cabaran utama kepada semua guru Malaysia.

Begitu besarnya dan berbaktinya insan bergelar guru. ‘Guru ibarat lilin, menerangi sesiapa sahaja sehingga membakar diri sendiri’ pepatah itu cukup untuk membuktikan tentang peranan guru dalam sistem pendidikan negara. Setiap apa yang dicurahkan bukan untuk minta dibalas, ilmu disemai untuk di cambah, kegagalan murid tanda kesedihan seorang guru, kejayaan yang ditempa kejayaan buatnya. Namun segala apa yang dilakukan bukanlah kerana perlukan balasan hanya sekadar melahirkan insan yang berilmu, berpengetahuan, beramal dan berbudi. Ibarat benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi bukit.

No comments:

Post a Comment